Monday 20 May 2013

Inilah Yang Berlaku Kepada Allahyarham Bapa Pada PRU ke 12 Dulu

IC diguna pengundi hantu, 8 mangsa lapor polis
(Oleh Aisha Geoffrey)
PETALING JAYA 20 MEI: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli membentangkan lapan salinan laporan polis oleh pengundi di lapan Parlimen seluruh negara yang tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum 5 Mei lalu kerana kad pengenalan (IC) mereka diguna oleh pengundi hantu.
Rafizi lagi

"Setakat 17 Mei 2013, lapan orang pengundi tampil dengan laporan polis yang dibuat kerana mereka dihalang dari membuang undi apabila orang lain telah mengundi menggunakan nama mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, bukti-bukti tersebut mengesahkan kewujudan kad-kad pengenalan palsu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk diberikan kepada individu tertentu bagi tujuan menjadi pengundi hantu.
“Perkara ini juga membayangkan keterlibatan dua badan yang bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN,” katanya.
Lapan pengundi yang tampil dengan bukti tersebut termasuk Kamarulzaman Md Adnan dari Parlimen Sungai Petani, Mohd Khir Shaari dari Rembau, Mohd Razmi Khalid dari Kuala Selangor, dan Nor A’risah Ab Yamin dari Serdang.
Turut tampil sebagai saksi, Lee Hou Cyang dari Parlimen Serdang, Sairah Junoh dari Tumpat dan Mohamad Khairul Azhar Yang Ali dari Shah Alam.
Salah seorang saksi, Sairah Junoh dalam laporannya berkata: “Saya ke tempat pengundian DUN Pasir Pekan N03 dan buat semakan SPR. Pihak SPR dapati nama saya dikatakan telah pun mengundi sedangkan saya belum buat pengundian dan jari saya belum dicalit dakwat.”
“Semua saksi terlibat bukan saja di kawasan yang Pakatan kalah, tetapi semua tempat yang memang terdapat aduan berhubung isu ini.
“Kita akan pastikan keadilan kerana kehadiran pengundi hantu meruntuhkan keyakinan rakyat kepada integriti keputusan PRU 13,” kata Rafizi.
“Selain dari bukti-bukti yang ditunjukkan, kita juga akan membawa saksi-saksi terbabit untuk memberi keterangan,” katanya yang turut memberitahu akan membawa lagi bukti kepada rakyat selepas ini.
Dalam pada itu, Rafizi turut mencabar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyatakan pendirian berhubung penyelewengan dalam pilihan raya.
“Saya mencabar Khairy yang baru dilantik ke Kabinet menjawab mengenai kewujudan pengundi hantu di Parlimen Rembau yang mungkin menyumbang kepada kemenangan beliau,” katanya.-Short URL: http://www.keadilandaily.com/

Abu: Masih terbayang perasaan hiba ayah tatkala namanya tiada dalam daftar SPR ketika mahu membuang undi pada PRU 12 dulu. Misteri kehilangan nama beliau dalam daftar SPR hanya terbongkar setelah kematiannya 5 bulan selepas PRU 12.Sijil kematiannya tidak dapat dikeluarkan. Setelah siasatan dilakukan, pihak JPN memaklumkan nama dan nombor IC ayah digunakan oleh seseorang yang lain di negeri Johor.Sehingga ke hari ini aku masih terkilan dengan kejadian itu.

Sunday 19 May 2013

Lega Mendengar Perkhabaran Ini


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam sekali lagi mengunjungi bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).


Difahamkan keadaan Ustaz Azizan kini semakin baik, sudah mengenali orang namun masih sukar untuk bercakap dan masih memakai tiub oksigen.

Bekas setiausaha akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata, Ustaz Azizan dalam keadaan sedar dan stabil namun masih lemah.

Beliau juga boleh memberi respon yang baik kepada orang sekeliling termasuk yang datang melawat.

Uastaz Azizan kini masih berada di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut untuk rawatan ekoran kehilangan kedua-dua belah kaki beliau akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Sementara itu, bekas setiausaha politik Ustaz Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kunjungan presiden PAS semalam banyak memberi nasihat kepada bekas menteri besar Kedah itu agar tabah dan sabar menerima ujian Allah itu.

Dalam kunjungan itu, presiden PAS turut menjelaskan kepada Ustaz Azizan berhubung keputusan yang terpaksa dibuat bagi membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan terhadap kedua-dua kaki beliau.

"Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata presiden PAS itu yang dipetik dalam tulisan Sanusi.

Saturday 18 May 2013

Aku Turut Sebak Membaca Catatan Ini

Berkasih Sayang Kerana Allah...

Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.

Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.

Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.



Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.

"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.

TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan tangan.

TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini..."Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
 
"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.

Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.

"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam esakkan.

TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.

Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.
 

Din Protokol, Calon Barisan Nasional DUN Selinsing Meninggal Dunia



Sharudin Ahmad 

Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad (Din Protokol) yang koma sejak dua hari lalu meninggal dunia di Hospital Taiping akibat jangkitan kuman pada jam 8.40 malam Sabtu.

Sharudin juga merupakan calon BN bagi DUN Selinsing pada pilihan raya lalu.

Doktor mengesahkan beliau mengalami jangkitan kuman dan keadaannya semakin kritikal apabila kuman merebak ke jantung dan buah pinggang.

Pada Jumaat, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat Sharudin di Hospital Taiping.

Sharudin merupakan pemimpin muda yang agresif dan progresif di Perak terutama bagi memperkasakan belia di daerah Kerian.

Dalam PRU ke 13 yang baru lalu, Sharudin yang pertama kali bertanding di DUN Selinsing mewakili Barisan Nasional tewas kepada penyandang, Hj.Husin Din dari PAS dengan majoriti 809 undi.- al fatihah.

Abu: Satu tempat dengan Allahyarham.

Sumber asal: mstar

Thursday 16 May 2013

KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI GURU 2013 - “Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”

KHUTBAH JUMAAT - 17 MEI 2013 M / 7 REJAB 1434 H

“Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”  

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلْبَابِ – الزمر : ٩
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala laranganNya, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kerjaya guru merupakan tugas mulia di sisi Islam dan Islam merupakan satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan dan memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Tarikh 16 Mei setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Hari ini seluruh negara mengingati, menghargai dan meraikan para guru dengan sewajarnya. Tidak kiralah siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Gurulah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Ianya selari dan bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini “Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dewasa ini, terdapat pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Segala nilai-nilai yang perlu ada bagi setiap yang menuntut ilmu, tidak diamalkan. Hal ini menyebabkan keberkatan daripada Allah itu tiada. Maka dengan itu, masyarakat berilmu tetap akan lahir namun daripada aspek yang bukan kita cari.

Sebagai perbandingan, pada masa sekarang, sangat ramai ahli profesional daripada bidang masing-masing yang tampak hebat pada kaca mata manusia. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam menjalankan tugas mereka. Namun, kita akan dapat melihat perbezaan antara orang yang menjaga adab dan yang sebaliknya. Seseorang akan benar-benar ikhlas dalam menjalankan tugas kesan daripada adab terhadap guru.

Oleh yang demikian, adab-adab terhadap guru dalam menuntut ilmu sangat penting. Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ – المجادلة : ١١

Maksudnya : Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah maha dalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.

Muslimin yang dirahmati Allah

Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut. Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Jawab Imam Syafie, "Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakah hendak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tahu kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang aku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu."

Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru. Saidina Ali R.A juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka ia adalah tuan kepadaku:”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah ,

Dalam menjana tranformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, tugas guru bukan sekadar menjadi mudarris(pendidik), tetapi guru juga sebagai mua’llim (penyampai yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak), dan sebagai mursyid(pembimbing ke arah kebenaran).

Kehidupan seorang guru tidak dapat lari dari hidup secara berjemaah atau dengan kata lain “Hidup Bermasyarakat”. Apabila kita jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga, maka orang yang paling hampir dengan kita ialah jiran tetangga atau lebih dikenali sebagai masyarakat. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda :

مَنْ أَصْبَحَ وَالدُّنْياَ أَكْبَرَ هَمِّهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِيْ شَيْءٍ ، وَمَنْ لَمْ يَتَّقِ اللهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِيْ شَيْءٍ ، وَمَنْ لَمْ يَهْتَمَّ لِلْمُسْلِمِيْنَ عَامَةً فَلَيْسَ مِنْهُمْ - (المستدرك على الصحيحين للحاكم

Sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan urusan keduniaan maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah. Sesiapa yang tidak bertaqwa kepada Allah maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah dan sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka.

Lihatlah tokoh-tokoh ulama nusantara seperti Prof. Dr. Hamka, Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Tuan Guru Tok Kenali dan ramai lagi, mereka telah mencurahkan bakti dalam menyampaikan ilmu dan bergiat aktif dalam masyarakat. Kesinambungan usaha mereka itu sewajarnya diteruskan oleh generasi pendidik masakini.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara bersama. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah.

Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah memperkenalkan “sarana ibubapa” dan “sarana sekolah” sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibubapa, komuniti dan sektor swasta kearah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan semua mampu mengubah sistem pendidikan negara kearah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan.

Sidang Jumaat yang dihormati;

Justeru, sempena Hari Guru yang disambut setiap tahun, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa sahaja yang berbakti kepada mereka. Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi menghadap Ilahi.

Mengakhiri khutbah pada hari ini mimbar menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

Buat para guru, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 2:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Selamat Menyambut Hari Guru

GURU SEBAGAI AGEN PERUBAHAN: SELAMAT HARI GURU 2013

Written by Suhaimi bin Abdul Aziz.
Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik yang berada di seluruh negara. Segala persiapan untuk meraikan jasa mu para guru sebenarnya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah dicurahkan untuk mendidik anak bangsa. Malah sambutan ini juga merupakan satu peringatan kepada kita semua bahawa tanggungjawab mendidik itu tidak harus ditimpakan kepada warga guru semata-mata malah bebanannya merupakan suatu perkongsian sepanjang hayat kita.    

Di sebalik kalungan bunga dan kata-kata pujian untuk warga pendidik hari ini, terdapat banyak cabaran struktural yang menghambat usaha untuk mengangkat martabat profesion perguruan. Usaha untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut memerlukan komitmen berterusan pihak Kementerian yang nampaknya lebih gemar berslogan dengan janji-janji transformasi dikala warga guru mendambakan inisiatif sebenar.

Kontroversi perlaksanaan sistem PBS sebagai contohnya masih tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang berwajib. Legasi permasalahan seperti isu penempatan guru yang memisahkan pasangan berkeluarga adalah sebenarnya satu bentuk kezaliman yang telah berlarutan sejak sekian lama. Sebagai pemerintah yang mengangkat dirinya sebagai kerajaan yang mendahulukan Rakyat, rentetan isu yang belum diselesaikan menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan cakna dengan kebajikan warga guru.

Sambutan Hari Guru kali ini juga berlangsung di dalam suasana politik yang rencam dengan persoalan perkauman. Mengambilkira keadaan ini, saya ingin mengajak warga guru untuk menyelami intipati sambutan Hari Guru ini dengan mengimbau sejarah gemilang warga pendidik terdahulu yang berjuang menuntut dan mengisi kemerdekaan serta gigih menyulam semangat perpaduan di antara kaum.

Lakukan pula satu muhasabah jujur mengenai peranan guru waktu ini dengan mengaplikasi piawaian Murabbi bagi melihat penambahbaikan yang perlu dilakukan demi manfaat generasi muda negara. Sudah tiba masanya bagi warga guru kembali mendepani cabaran nasional dan menjadi kompas moral masyarakat di dalam membina Malaysia yang lebih baik.

Untuk itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia beriltizam untuk terus mendokong usaha warga guru menjadi agen perubahan di dalam masyarakat dan akan melakukan segala yang terdaya untuk berjuang mengangkat taraf kebajikan dan profesion perguruan.

Selamat Hari Guru. Sesungguhnya kemurnian jasa dan pengorbanan para guru sekalian hanya Allah sahaja yang mampu membayarnya.

Dari anak muridmu,
Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

GURU PENCETUS DAYA SAING PELAJAR

Written by Suhaimi bin Abdul Aziz.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan penghargaan serta tahniah kepada seluruh warga pendidik sempena Hari Guru 2013 pada hari ini. Sambutan ini merupakan satu simbolik pengiktirafan masyarakat terhadap sumbangan guru dalam membangunkan masyarakat dan negara. Melalui sambutan seperti ini, masyarakat diharapkan akan menghargai segala sumbangan guru-guru dan pada masa yang sama guru-guru pula akan meningkatkan komitmen dan kesungguhan mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi warga yang cemerlang dan juga berilmu.

Sempena Hari Guru ini, kami menyeru seluruh warga pendidik supaya mempertingkatkan lagi kesungguhan mereka dalam mendidik rakyat negara ini bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga mendidik rakyat supaya memahami antara realiti bermasyarakat yang sebenar. Pada hari ini guru-guru semacam didoktrinkan supaya hanya berfungsi di sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan para pelajar dalam pelajaran mereka sahaja, tetapi guru-guru dikekang daripada membina kematangan kognitif masyarakat supaya lebih sensitif terhadap persekitaran setempat dalam etika kemasyarakatan.

Dengan suasana masyarakat sekarang yang diperlihatkan runtuhnya gejala sosial yang begitu tinggi serta kebimbangan yang ketara terhadap penagihan dadah, guru-guru juga amat diseru supaya melibatkan diri membantu penyakit besar masyarakat dalam Negara sekarang yang tidak dapat dibendung lagi. Kami yakin ruang yang sedia ada di sekolah diantara guru dan juga pelajar amat terlalu dekat untuk membicarakan perkara ini yang mesti digariskan oleh semua pihak yang terlibat. Ini adalah kerana sebagai pendidik dalam institusi seperti sekolah sebagai landasan yang mencerminkan kedudukan dan juga gambaran sebenar generasi akan datang secara mana yang akan dibina.

Kami yakin akan kemampuan semua warga pendidik ini kerana didikan ini akan memperlihatkan maruah Negara dan kedaulatan kita semua akan ditingkatkan. Tugas besar ini akan dibukukan untuk digagas atau disandang bagi mereka yang akan menerima tanggungjawab itu kelak. Akan tetapi kekeliruan yang sedia ada bagi individu tertentu didalam bidang pendidikan ini kadang kala menggambarkan kepada semua warga pendidik. Contoh yang terbaik daripada semua aspek harus ditonjolkan oleh pendidik ini kerana setiap gerakgeri akan dilihat sebagai gambaran sebenar perlakuan masyarakat itu sendiri.

Kami mengiringi tugas penting ini dengan doa, moga warga pendidik mendapat keberkatan yang seluas-luangnya serta kesenangan didalam tugas mendidik ini. Janganlah identiti pendidik itu hilang atas pertimbangan yang tidak mencerminkan tanggungjawab sebenar yang masyarakat harapkan selama ini. Masyarakat juga menanti perubahan untuk anak-anak mereka didalam kejayaan yang cemerlang dan juga berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Kecemerlangan warga pendidik akan kita kongsi bersama sepanjang masa supaya ianya disusun mengikut tuntutan tugasan ini sendiri. Warga pendidikan yang diperlihatkan begitu berat dan agak susah bidang  kerjaya ini tidak akan berputus asa atau semangat. Kejayaan warga pendidik adalah kerjayaan untuk semua.



DR. RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Wednesday 15 May 2013

Sidang Media PM Petang Ini

Dijangka umum senarai jemaah menteri.
 
Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur tengah hari ini untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka bagi barisan kabinet baharunya.

Perdana menteri tiba pada pukul 11.55 pagi menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan terus menghadap Seri Paduka bagi mempersembahkan senarai itu.

Kira-kira 30 minit kemudian kereta yang membawa Najib dilihat keluar dari perkarangan Istana. Seramai 20 orang wakil media sedia menunggu di luar pintu pagar Istana.

Najib dijadual mengumumkan barisan kabinet itu pada pukul 5 petang ini di Putrajaya.

Majlis angkat sumpah memegang jawatan dan menyimpan rahsia oleh menteri dan timbalan menteri akan diadakan pada 9.30 pagi esok di Istana Negara.

Pembentukan barisan kabinet baharu itu ialah lanjutan daripada pelantikan Najib sebagai perdana menteri pada 6 Mei lepas.

Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April lepas, kabinet merangkumi 25 kementerian dan diterajui 28 menteri.

- Bernama