Monday, 20 May 2013

Inilah Yang Berlaku Kepada Allahyarham Bapa Pada PRU ke 12 Dulu

IC diguna pengundi hantu, 8 mangsa lapor polis
(Oleh Aisha Geoffrey)
PETALING JAYA 20 MEI: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli membentangkan lapan salinan laporan polis oleh pengundi di lapan Parlimen seluruh negara yang tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum 5 Mei lalu kerana kad pengenalan (IC) mereka diguna oleh pengundi hantu.
Rafizi lagi

"Setakat 17 Mei 2013, lapan orang pengundi tampil dengan laporan polis yang dibuat kerana mereka dihalang dari membuang undi apabila orang lain telah mengundi menggunakan nama mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, bukti-bukti tersebut mengesahkan kewujudan kad-kad pengenalan palsu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk diberikan kepada individu tertentu bagi tujuan menjadi pengundi hantu.
“Perkara ini juga membayangkan keterlibatan dua badan yang bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN,” katanya.
Lapan pengundi yang tampil dengan bukti tersebut termasuk Kamarulzaman Md Adnan dari Parlimen Sungai Petani, Mohd Khir Shaari dari Rembau, Mohd Razmi Khalid dari Kuala Selangor, dan Nor A’risah Ab Yamin dari Serdang.
Turut tampil sebagai saksi, Lee Hou Cyang dari Parlimen Serdang, Sairah Junoh dari Tumpat dan Mohamad Khairul Azhar Yang Ali dari Shah Alam.
Salah seorang saksi, Sairah Junoh dalam laporannya berkata: “Saya ke tempat pengundian DUN Pasir Pekan N03 dan buat semakan SPR. Pihak SPR dapati nama saya dikatakan telah pun mengundi sedangkan saya belum buat pengundian dan jari saya belum dicalit dakwat.”
“Semua saksi terlibat bukan saja di kawasan yang Pakatan kalah, tetapi semua tempat yang memang terdapat aduan berhubung isu ini.
“Kita akan pastikan keadilan kerana kehadiran pengundi hantu meruntuhkan keyakinan rakyat kepada integriti keputusan PRU 13,” kata Rafizi.
“Selain dari bukti-bukti yang ditunjukkan, kita juga akan membawa saksi-saksi terbabit untuk memberi keterangan,” katanya yang turut memberitahu akan membawa lagi bukti kepada rakyat selepas ini.
Dalam pada itu, Rafizi turut mencabar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyatakan pendirian berhubung penyelewengan dalam pilihan raya.
“Saya mencabar Khairy yang baru dilantik ke Kabinet menjawab mengenai kewujudan pengundi hantu di Parlimen Rembau yang mungkin menyumbang kepada kemenangan beliau,” katanya.-Short URL: http://www.keadilandaily.com/

Abu: Masih terbayang perasaan hiba ayah tatkala namanya tiada dalam daftar SPR ketika mahu membuang undi pada PRU 12 dulu. Misteri kehilangan nama beliau dalam daftar SPR hanya terbongkar setelah kematiannya 5 bulan selepas PRU 12.Sijil kematiannya tidak dapat dikeluarkan. Setelah siasatan dilakukan, pihak JPN memaklumkan nama dan nombor IC ayah digunakan oleh seseorang yang lain di negeri Johor.Sehingga ke hari ini aku masih terkilan dengan kejadian itu.

Sunday, 19 May 2013

Lega Mendengar Perkhabaran Ini


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam sekali lagi mengunjungi bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).


Difahamkan keadaan Ustaz Azizan kini semakin baik, sudah mengenali orang namun masih sukar untuk bercakap dan masih memakai tiub oksigen.

Bekas setiausaha akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata, Ustaz Azizan dalam keadaan sedar dan stabil namun masih lemah.

Beliau juga boleh memberi respon yang baik kepada orang sekeliling termasuk yang datang melawat.

Uastaz Azizan kini masih berada di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut untuk rawatan ekoran kehilangan kedua-dua belah kaki beliau akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Sementara itu, bekas setiausaha politik Ustaz Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kunjungan presiden PAS semalam banyak memberi nasihat kepada bekas menteri besar Kedah itu agar tabah dan sabar menerima ujian Allah itu.

Dalam kunjungan itu, presiden PAS turut menjelaskan kepada Ustaz Azizan berhubung keputusan yang terpaksa dibuat bagi membenarkan pihak hospital melakukan pembedahan terhadap kedua-dua kaki beliau.

"Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata presiden PAS itu yang dipetik dalam tulisan Sanusi.

Saturday, 18 May 2013

Aku Turut Sebak Membaca Catatan Ini

Berkasih Sayang Kerana Allah...

Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.

Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.

Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.



Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.

"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.

TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan tangan.

TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini..."Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
 
"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.

Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.

"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam esakkan.

TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.

Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.
 

Din Protokol, Calon Barisan Nasional DUN Selinsing Meninggal Dunia



Sharudin Ahmad 

Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad (Din Protokol) yang koma sejak dua hari lalu meninggal dunia di Hospital Taiping akibat jangkitan kuman pada jam 8.40 malam Sabtu.

Sharudin juga merupakan calon BN bagi DUN Selinsing pada pilihan raya lalu.

Doktor mengesahkan beliau mengalami jangkitan kuman dan keadaannya semakin kritikal apabila kuman merebak ke jantung dan buah pinggang.

Pada Jumaat, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat Sharudin di Hospital Taiping.

Sharudin merupakan pemimpin muda yang agresif dan progresif di Perak terutama bagi memperkasakan belia di daerah Kerian.

Dalam PRU ke 13 yang baru lalu, Sharudin yang pertama kali bertanding di DUN Selinsing mewakili Barisan Nasional tewas kepada penyandang, Hj.Husin Din dari PAS dengan majoriti 809 undi.- al fatihah.

Abu: Satu tempat dengan Allahyarham.

Sumber asal: mstar

Thursday, 16 May 2013

KHUTBAH JUMAAT SEMPENA HARI GURU 2013 - “Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”

KHUTBAH JUMAAT - 17 MEI 2013 M / 7 REJAB 1434 H

“Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”  

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الأَلْبَابِ – الزمر : ٩
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekelian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala laranganNya, mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kerjaya guru merupakan tugas mulia di sisi Islam dan Islam merupakan satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan dan memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Tarikh 16 Mei setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru. Hari ini seluruh negara mengingati, menghargai dan meraikan para guru dengan sewajarnya. Tidak kiralah siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Gurulah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita menjadi insan yang berilmu. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara. Ianya selari dan bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini “Guru Malaysia : Satu Aspirasi Satu Agenda”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dewasa ini, terdapat pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Segala nilai-nilai yang perlu ada bagi setiap yang menuntut ilmu, tidak diamalkan. Hal ini menyebabkan keberkatan daripada Allah itu tiada. Maka dengan itu, masyarakat berilmu tetap akan lahir namun daripada aspek yang bukan kita cari.

Sebagai perbandingan, pada masa sekarang, sangat ramai ahli profesional daripada bidang masing-masing yang tampak hebat pada kaca mata manusia. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dalam menjalankan tugas mereka. Namun, kita akan dapat melihat perbezaan antara orang yang menjaga adab dan yang sebaliknya. Seseorang akan benar-benar ikhlas dalam menjalankan tugas kesan daripada adab terhadap guru.

Oleh yang demikian, adab-adab terhadap guru dalam menuntut ilmu sangat penting. Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ – المجادلة : ١١

Maksudnya : Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah maha dalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.

Muslimin yang dirahmati Allah

Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali. Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut. Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Jawab Imam Syafie, "Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah, aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakah hendak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tahu kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang aku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu."

Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru. Saidina Ali R.A juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka ia adalah tuan kepadaku:”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah ,

Dalam menjana tranformasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, tugas guru bukan sekadar menjadi mudarris(pendidik), tetapi guru juga sebagai mua’llim (penyampai yang benar), sebagai murabbi (pengasuh dan pendidik anak-anak dengan kasih sayang), sebagai muaddib (pembentuk adab dan akhlak anak-anak), dan sebagai mursyid(pembimbing ke arah kebenaran).

Kehidupan seorang guru tidak dapat lari dari hidup secara berjemaah atau dengan kata lain “Hidup Bermasyarakat”. Apabila kita jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga, maka orang yang paling hampir dengan kita ialah jiran tetangga atau lebih dikenali sebagai masyarakat. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda baginda :

مَنْ أَصْبَحَ وَالدُّنْياَ أَكْبَرَ هَمِّهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِيْ شَيْءٍ ، وَمَنْ لَمْ يَتَّقِ اللهِ فَلَيْسَ مِنَ اللهِ فِيْ شَيْءٍ ، وَمَنْ لَمْ يَهْتَمَّ لِلْمُسْلِمِيْنَ عَامَةً فَلَيْسَ مِنْهُمْ - (المستدرك على الصحيحين للحاكم

Sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan urusan keduniaan maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah. Sesiapa yang tidak bertaqwa kepada Allah maka bukanlah dia daripada golongan yang diredhai Allah dan sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka.

Lihatlah tokoh-tokoh ulama nusantara seperti Prof. Dr. Hamka, Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Tuan Guru Tok Kenali dan ramai lagi, mereka telah mencurahkan bakti dalam menyampaikan ilmu dan bergiat aktif dalam masyarakat. Kesinambungan usaha mereka itu sewajarnya diteruskan oleh generasi pendidik masakini.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara bersama. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah.

Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak diberikan kasih sayang dan perhatian secukupnya. Usaha mendidik anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, terutamanya dalam mendirikan solat secara istiqamah, membaca, memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran. Ianya selari dan bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah memperkenalkan “sarana ibubapa” dan “sarana sekolah” sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibubapa, komuniti dan sektor swasta kearah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan semua mampu mengubah sistem pendidikan negara kearah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan.

Sidang Jumaat yang dihormati;

Justeru, sempena Hari Guru yang disambut setiap tahun, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara. Hal ini bertepatan dengan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa sahaja yang berbakti kepada mereka. Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi menghadap Ilahi.

Mengakhiri khutbah pada hari ini mimbar menyeru dan berpesan, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.

Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.

Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.

Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.

Buat para guru, teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 2:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِىْ الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ المُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيم.
Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Selamat Menyambut Hari Guru

GURU SEBAGAI AGEN PERUBAHAN: SELAMAT HARI GURU 2013

Written by Suhaimi bin Abdul Aziz.
Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada warga pendidik yang berada di seluruh negara. Segala persiapan untuk meraikan jasa mu para guru sebenarnya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah dicurahkan untuk mendidik anak bangsa. Malah sambutan ini juga merupakan satu peringatan kepada kita semua bahawa tanggungjawab mendidik itu tidak harus ditimpakan kepada warga guru semata-mata malah bebanannya merupakan suatu perkongsian sepanjang hayat kita.    

Di sebalik kalungan bunga dan kata-kata pujian untuk warga pendidik hari ini, terdapat banyak cabaran struktural yang menghambat usaha untuk mengangkat martabat profesion perguruan. Usaha untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut memerlukan komitmen berterusan pihak Kementerian yang nampaknya lebih gemar berslogan dengan janji-janji transformasi dikala warga guru mendambakan inisiatif sebenar.

Kontroversi perlaksanaan sistem PBS sebagai contohnya masih tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang berwajib. Legasi permasalahan seperti isu penempatan guru yang memisahkan pasangan berkeluarga adalah sebenarnya satu bentuk kezaliman yang telah berlarutan sejak sekian lama. Sebagai pemerintah yang mengangkat dirinya sebagai kerajaan yang mendahulukan Rakyat, rentetan isu yang belum diselesaikan menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan cakna dengan kebajikan warga guru.

Sambutan Hari Guru kali ini juga berlangsung di dalam suasana politik yang rencam dengan persoalan perkauman. Mengambilkira keadaan ini, saya ingin mengajak warga guru untuk menyelami intipati sambutan Hari Guru ini dengan mengimbau sejarah gemilang warga pendidik terdahulu yang berjuang menuntut dan mengisi kemerdekaan serta gigih menyulam semangat perpaduan di antara kaum.

Lakukan pula satu muhasabah jujur mengenai peranan guru waktu ini dengan mengaplikasi piawaian Murabbi bagi melihat penambahbaikan yang perlu dilakukan demi manfaat generasi muda negara. Sudah tiba masanya bagi warga guru kembali mendepani cabaran nasional dan menjadi kompas moral masyarakat di dalam membina Malaysia yang lebih baik.

Untuk itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia beriltizam untuk terus mendokong usaha warga guru menjadi agen perubahan di dalam masyarakat dan akan melakukan segala yang terdaya untuk berjuang mengangkat taraf kebajikan dan profesion perguruan.

Selamat Hari Guru. Sesungguhnya kemurnian jasa dan pengorbanan para guru sekalian hanya Allah sahaja yang mampu membayarnya.

Dari anak muridmu,
Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia

GURU PENCETUS DAYA SAING PELAJAR

Written by Suhaimi bin Abdul Aziz.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan penghargaan serta tahniah kepada seluruh warga pendidik sempena Hari Guru 2013 pada hari ini. Sambutan ini merupakan satu simbolik pengiktirafan masyarakat terhadap sumbangan guru dalam membangunkan masyarakat dan negara. Melalui sambutan seperti ini, masyarakat diharapkan akan menghargai segala sumbangan guru-guru dan pada masa yang sama guru-guru pula akan meningkatkan komitmen dan kesungguhan mereka untuk mendidik anak bangsa menjadi warga yang cemerlang dan juga berilmu.

Sempena Hari Guru ini, kami menyeru seluruh warga pendidik supaya mempertingkatkan lagi kesungguhan mereka dalam mendidik rakyat negara ini bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga mendidik rakyat supaya memahami antara realiti bermasyarakat yang sebenar. Pada hari ini guru-guru semacam didoktrinkan supaya hanya berfungsi di sekolah untuk meningkatkan kecemerlangan para pelajar dalam pelajaran mereka sahaja, tetapi guru-guru dikekang daripada membina kematangan kognitif masyarakat supaya lebih sensitif terhadap persekitaran setempat dalam etika kemasyarakatan.

Dengan suasana masyarakat sekarang yang diperlihatkan runtuhnya gejala sosial yang begitu tinggi serta kebimbangan yang ketara terhadap penagihan dadah, guru-guru juga amat diseru supaya melibatkan diri membantu penyakit besar masyarakat dalam Negara sekarang yang tidak dapat dibendung lagi. Kami yakin ruang yang sedia ada di sekolah diantara guru dan juga pelajar amat terlalu dekat untuk membicarakan perkara ini yang mesti digariskan oleh semua pihak yang terlibat. Ini adalah kerana sebagai pendidik dalam institusi seperti sekolah sebagai landasan yang mencerminkan kedudukan dan juga gambaran sebenar generasi akan datang secara mana yang akan dibina.

Kami yakin akan kemampuan semua warga pendidik ini kerana didikan ini akan memperlihatkan maruah Negara dan kedaulatan kita semua akan ditingkatkan. Tugas besar ini akan dibukukan untuk digagas atau disandang bagi mereka yang akan menerima tanggungjawab itu kelak. Akan tetapi kekeliruan yang sedia ada bagi individu tertentu didalam bidang pendidikan ini kadang kala menggambarkan kepada semua warga pendidik. Contoh yang terbaik daripada semua aspek harus ditonjolkan oleh pendidik ini kerana setiap gerakgeri akan dilihat sebagai gambaran sebenar perlakuan masyarakat itu sendiri.

Kami mengiringi tugas penting ini dengan doa, moga warga pendidik mendapat keberkatan yang seluas-luangnya serta kesenangan didalam tugas mendidik ini. Janganlah identiti pendidik itu hilang atas pertimbangan yang tidak mencerminkan tanggungjawab sebenar yang masyarakat harapkan selama ini. Masyarakat juga menanti perubahan untuk anak-anak mereka didalam kejayaan yang cemerlang dan juga berguna kepada agama, bangsa dan Negara.

Kecemerlangan warga pendidik akan kita kongsi bersama sepanjang masa supaya ianya disusun mengikut tuntutan tugasan ini sendiri. Warga pendidikan yang diperlihatkan begitu berat dan agak susah bidang  kerjaya ini tidak akan berputus asa atau semangat. Kejayaan warga pendidik adalah kerjayaan untuk semua.



DR. RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Wednesday, 15 May 2013

Sidang Media PM Petang Ini

Dijangka umum senarai jemaah menteri.
 
Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur tengah hari ini untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka bagi barisan kabinet baharunya.

Perdana menteri tiba pada pukul 11.55 pagi menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan terus menghadap Seri Paduka bagi mempersembahkan senarai itu.

Kira-kira 30 minit kemudian kereta yang membawa Najib dilihat keluar dari perkarangan Istana. Seramai 20 orang wakil media sedia menunggu di luar pintu pagar Istana.

Najib dijadual mengumumkan barisan kabinet itu pada pukul 5 petang ini di Putrajaya.

Majlis angkat sumpah memegang jawatan dan menyimpan rahsia oleh menteri dan timbalan menteri akan diadakan pada 9.30 pagi esok di Istana Negara.

Pembentukan barisan kabinet baharu itu ialah lanjutan daripada pelantikan Najib sebagai perdana menteri pada 6 Mei lepas.

Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April lepas, kabinet merangkumi 25 kementerian dan diterajui 28 menteri.

- Bernama

Tuesday, 14 May 2013

Orang Awam Belum Dibenarkan Melawat DS Azizan

Azizan mula beri respon kepada doktor
Kesihatan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan beransur baik apabila mula memberi respon dengan membuka matanya apabila dipanggil doktor hari ini.

Setiausaha akhbarnya Mohd Helmi Khalid bagaimanapun berkata Azizan belum boleh bercakap dan masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

"Kira-kira pukul 4 petang tadi, doktor yang merawatnya memanggil isteri dan anggota keluarga dan saya untuk memaklumkan bahawa doktor telah mengurangkan sejenis ubat tahan sakit kepada Datuk Seri Azizan berikutan keadaannya yang semakin stabil.

"Doktor juga maklumkan, beliau telah memberi tindak balas dengan membuka mata apabila dipanggil. Alhamdulillah ini satu perkembangan yang baik," katanya ketika dihubungi Bernama di Georgetown.

Katanya, Azizan diberi pemerhatian rapi lebih 10 doktor pakar termasuk pakar kardiologi, pakar ortopedik, pakar diabetes dan pakar nephrologi.

"Setakat ini doktor belum maklumkan bila Datuk Seri (Azizan) boleh dibenarkan keluar atau dipindahkan ke hospital lain (di Kedah)," katanya.

Helmi berkata setakat ini orang awam belum dibenarkan melawat Azizan berikutan keadaannya masih lemah.

Katanya, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah dijangka melawat Azizan di Hospital Pulau Pinang pada pukul 7 malam ini.

Azizan, 69, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis pada Khamis lepas.

Beliau dipindahkan ke HPP pada Rabu lepas dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya dua hari sebelum itu.

Azizan terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berikutan kekalahan pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, Ahad lalu.

BN memperoleh 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mendapat majoriti mudah bagi membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

-Bernama

Perjuangan Yang mengambil Masa Agak Lama Akan Terasa Lebih Manisnya.


Rakyat Bersama Pakatan, BN Hanya Menang Kerusi!
28 Jamadil Akhir 1434 H.

Hidup ini kerana nyawa dan semangat. Jasad kita bergerak kerana ada nyawa (roh). Jasad pula akan jadi segar sekiranya ada semangat. Bila semangat lemah, maka kita akan sakit-sakitan. Seleasai pilihan raya maka saya jadi tidak sihat. Seluruh tubuh jadi sakit-sakit. Kesan berjaga malam dua minggu memberi ketidakselesaan kepada diri. Tanpa makan teratur dan tidur sudah pasti tidak mencukupi itulah menjadikan badan sakit.

Keadaan yang lemah itu ditambah lagi dengan 'kekalahan'. Saya yakin saya akan sihat, bersemangat dan lancar membuat ulasan demi ulasan kalau menang. Maksudnya jasad akan jadi kuat kerana ia di go head oleh kemenangan. Pasti tubuh tidak akan jadi lemah gemulai.

Bukan saja saya, semua orang yang cintakan damai dan perubahan terkejut dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Saya percaya hari ini ramai yang sakit dan lemah semangat macam saya. Namun kita tidak boleh ikutkan hati sangat, bertawakuslah. Apapun kita hanya mampu merancang, tetapi Allah juga yang Maha Mentadbir.

Semua yang berlaku dalam pilihan raya dua hari lepas di luar jangka kita. Apa yang kita jangkakan tidak menjadi. Dari kalangan penyokong sampai kepada pemimpin atasan tidak menyangka. Bahkan pemerhati dari luar negara juga terperagah menerima keputusan. Masih ada yang termangu panjang di birai jendela memikirkan nasib badan dan keputusan yang telah diumumkan. Jangan begitu, perjuangan masih panjang dan Tuhan tetap memelihara orang yang sabar dan bertaqwa.

Bagi saya apa yang berlaku tidak akan berganjak. Bahawa UBN akan membentuk kerajaan untuk lima tahun lagi dalam keadaan yang lemah kerana tidak memperolehi 2/3 di parlimen. Walaupun banyak kecacatan dan ketidaksempurnaan itulah yang harus diterima kini. Apabila Najib Razak dalam kenyataan awalnya meminta Pakatan Rakyat menerima keputusan, sudah dapat dibaca apa yang termaktub di dalam hatinya. Apa yang beliau tahu mengenai pilihan raya berkenaan? Bahawa kecacatan dan penipuan berlaku. Ini realiti yang kita kena terima. Betapa kita membencinya tetapi ia hadir dalam hidup demokrasi kita. Penipuan bukan saja dalam PRU-13 tetap sejak dari PRU-1 lagi.


Selepas ini akan ada beberapa petisyen atau bantahan. Anwar Ibrahim sudah membuat kenyataan pihaknya sedang mengkaji untuk membuat bantahan. Ada kawasan yang terdapat bukti jelas berlaku penyelewengan. Misalnya apa yang diterima Lajim Okin di Sabah adalah satu bukti besar. Semua orang tidak mempercaya Lajim akan kalah. Inlah ibu segala kebusukan dalam pilihan raya ini. Anwar meyifatkan kemenangan di pihak pakatan rakyat telah dicuri oleh UBN.


Sehubungan itu beliau juga meminta satu badan suruhanjaya pilihan raya lain perlu dibentuk menggantikan SPR yang ada hari ini yang tidak telus. Badan baru itu harus telus dan terbuka. Bagi Anwar peranana SPR hari ini bukan memberikeadilan dan hak sama rata tetapi membela UBN. Kebimbang ini sudah lama bersarangan, beberapa desakan dan tuntutan dilakukan kepada badan itu namun ia tidak juga memberi apa-apa perubahan.

Saya menarik dengan satu figure dikeluarkan mengenai undi popular di mana Pakatan Rakyat memperolehi 50.3% undi manakala UBN mendapat 46.8%. Jika angka ini tepat dan benar maka jelas dari sudut angka dan undi popular Pakatan Rakyat yang berhak diumum sebagai pemenang. Ertinya kalau amalan demokrasi sama seperti di Indonesia, Pakatan berhak mendapat anggota kabinet yang lebih ramai berbanding dengan UBN.

Sekiranya angka ini sahih rakyat berharap menuntut kemenangan mereka. SPR perlu memberi penjelasan dari semua sudut dengan jelas macam mana mereka boleh mengumumkan UBN menang. Kemunasabahan melampau hak perlu digunakan oleh SPR untuk mempertahankan keputusannya. Oh ya mungkin ia berdasarkan kepada jumlah kerusi diperolehi tetapi bukan peratus undi. Ertinya kalau kemenangan UBN itu berdasarkan kepada jumlah kerusi bukan kepada peratus suara. Ini bermakna kemenangan itu bukan dari atas suara.

Saya sudah lama menyarankan agar sistem pilihan raya kita diubah. Dari mengira kerusi kepada mengira suara. Kemenangan berdasarkan siapa yang mendapat kerusi lebih dan bukan kepada suara rakyat tidak relevan lagi. Ini bermakna parti yang kurang mendapat sokongan menjadi kerajaan. Suara rakyat yang mahukan perubahan terus terabai dan dinafikan oleh jumlah kerusi yang mana kemenangannya boleh direka dan diusahakan?

Bedasarkan hakiat itu tadi, sokongan rakyat, PRU-13 memang dimenangi oleh rakyat. Suara yang inginkan kepada Pakatan Rakyat lebih tinggi berbanding dengan suara yang inginkan kepada UBN. Perbezaan sebanyak 3.5% adalah besar. Hakikat ini mungkin jarang diketahui oleh orang ramai. Justeru kalau kita memahami ini tidak perlu merasa sedih atau merasa kalah kerana hakikatnya apa yang diterima oleh UBN itu dari segi kelebihan kerusi bukan sokongan.

Kelebihan kerusi bukan menggambarkan sokongan sepenuhnya, kalau dikira dari setiap individu. Yang perlu diperkiranya ialah jumlah semua individu yang mengundi pada 5 Mei lalu. Makanya Najib Razak dan pemimpin BN tidak boleh merasa 'manggak' dengan kemenangan itu kerana ia bukan kemenangan mutlak. Sekiranya Najib dan UBN seorang dan sebuah badan berintegriti beliau kena serahkan kemenangan itu kepada Pakatan Rakyat atau dikongsi bersama.

Jadi kepada penyokong Pakatan jangan bersedih. Saya pun sudah segar dan bersemangat kembali kini. Sebenarnya tidak ada kekalahan mutlak di sebelah kita. Dari segi pungutan kerusi Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi parlimen dari 82 pada tahun 2008 kepada 89 kerusi bertambah sebanyak tujuh kerusi. Pecahan DAP 38, PKR 30 dan PAS 21. UBN mengalami kesusutan sebanyak tujuh kerusi. Dulu 140 kini 133 kerusi.

Manakala dari segi kedudukan kerusi Negeri pula UBN kehilangan 32 kerusi. Dalam tahun 2008 UBN mendapat 306 kerusi sementara dalam pilihan raya lalu mendapat 274 kerusi. Walaupun parti itu berjaya merampas Kedah namun dari segi hakikatnya parti itu merosot.


Lonjakan besar bagi Pakatan Rakyat ialah di negeri Terengganu. PAS hanya kekurangan dua kerusi sahaja untuk membentuk kerajaan di negeri itu. Daripada lapan kerusi dalam tahun 2008 kepada 15 kerusi. Begitu juga di Perak Pakatan Rakyat kekurangan juga empat kerusi saja. Kedudukan menunjukkan sokongan dan kekuatan Pakatan Rakyat masih ada dan diberi kepercayaan oleh rakyat.

Kekalahan mengikut bilangan kerusi harus diterima kerana kita memahami apakah peranan SPR didalam menguruskan pilihan raya ini. Dalam keadaan SPR tidak berlaku adil tetapi Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan dan melonjakkan diri, jelas bahawa tuntut massa mahukan kepada Pakatan Rakyat.

Di sini saya tidak mahu menyebut atau membuat postmortem mengenai kenapa Pakatan Rakyat masih belum boleh membentuk kerajaan. Saya akan mengambil ruang lain. Cuma apa yang hendak ditegaskan ialah agar penyokong Pakatan Rakyat tidak mudah berputus asas. Semua pihak perlu merasakan kita telah melakukan yang terbaik di dalam pilihan raya lalu. Di samping itu dalam menilai kenapa kita 'menang kalah, kalah menang' perlu menyenaraikan kelemahan atau sesuatu tindakan yang kita tidak sempat lakukan menyebabkan berlaku apa yang berlaku.

Renung ke dalam diri, di antara kita akan menemui sesuatu kesilapan kecil yang kita lakukan baik sengaja atau tidak. Kalau kita tulus kita akan menemui perkara itu dan itulah yang memungkinkan kita gagal. Apabila menemuinya, kita perbetulkan dan tidak akan mengulangi benda sama di tahun akan datang.

Yang dapat saya simpulkan berhubung keputusan semalam ialah, BN menang dari segi jumlah kerusi tetapi kalah dari segi suara dan kehendak rakyat. UBN kena sedar bahawa sebanyak 3.5% adalah rakyat yang tidak bersetuju dengan UBN. Tanpa memikirkan bahawa matlamat kemenangan itu untuk membentuk kerajaan dan mentadbir negara semata-mata, sesungguhnya Pakatan Rakyat telah memenangi pilihan raya ke-13 lalu. Hakikat ini diketahui oleh semua dunia.
 
Kerusi parlimen di bandar-bandar besar dikuasi oleh Pakatan Rakyat.Pakatan Rakyat menguasai kerusi parlimen di Semenanjung.

Artikal dimuat turun daripada -msomelayu


Segarkan ingatan anda...

Sunday, 12 May 2013

Jom Sertai BN!

DAP tidak akan ganti MCA


Lim Kit Siang

SHAH ALAM -  DAP tidak akan menyertai kerajaan BN untuk menggantikan peranan MCA.
Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, DAP berbeza dengan MCA kerana parti itu berjuang untuk semua kaum, bukan mewakili kaum Cina sahaja.

“Kita menolak apa-apa kemungkinan DAP akan menggantikan MCA dalam BN. Kita buat satu parti bukan untuk kaum Cina saja, tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

“Tujuan kita bukan untuk gantikan peranan MCA," katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin agar DAP bergabung dengan BN bagi memastikan ada wakil kaum Cina dalam Kabinet yang bakal dibentuk.

Kit Siang dalam kenyataannya sebelum ini berkata, DAP bersikap terbuka dengan syor dan cadangan mengenai keperluan wakil Cina dalam kerajaan dan akan memberi respons perkara itu kemudian.

“Kelihatannya banyak cadangan baru. Kita beri masa untuk rakyat kemukakan cadangan. Ini merupakan masa untuk teliti cadangan dan kami akan beri reaksi sewajarnya,” katanya.

Dalam PRU13 5 Mei lalu, DAP berjaya memenangi 38 daripada 51 kerusi Parlimen, manakala MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi yang ditandingi.

Berikutan prestasi buruk itu, pucuk pimpinan MCA memutuskan untuk tidak menyertai Kabinet di peringkat pusat atau negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan ramai pihak agar Umno bersatu dengan Pas, beliau menyifatkan ia sebagai satu perangkap dan helah Umno.

Katanya, percanggahan beberapa perkara antara Pas dengan komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak sewajarnya dikaitkan dengan kemungkinan parti itu perlu menyertai Umno.

“Adakah Pas dan Umno bersetuju dalam semua dasar termasuk hudud? Tidak bukan? Jadi ini hanya perangkap Umno untuk memecahbelahkan PR. Tapi, kami tidak boleh diperangkap, “ katanya.

Saturday, 11 May 2013

Cina Ni Kata "Cina" Perangai Macam Budak-budak!

 Gerakan,MCA lebih kepada tutup kedai – Guan Eng
Harakahdaily,11 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Walaupun Umno membalas dendam untuk kekalahan mereka dalam pilihan raya umum, terutamanya kegagalan untuk mendapatkan majoriti 2/3 parlimen, dengan menyalahkan orang Cina; MCA dan Gerakan berperangai kebudak-budakan dengan menutup pusat-pusat khidmat mereka.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat tidak akan lagi menjadi mangsa kepada ancaman tersebut.

Baginya, MCA dan Gerakan lebih kepada menutup kedai dan bukan sekadar pusat-pusat khidmat mereka.

“Pemimpin-pemimpin DAP dan ahli-ahli perlu berusaha lebih dengan menggantikan BN sama ada MCA atau Gerakan, dalam berkhidmat kepada rakyat di mana MCA atau Gerakan telah meninggalkan rakyat,” ujarnya semasa Persidangan Khas DAP untuk 38 ahli parlimen dan 103 Dun di sini, hari ini.

Katanya, MCA dan Gerakan terlalu memandang rendah harapan rakyat untuk perubahan jika mereka fikir menutup pusat khidmat atau pejabat mereka sebagai membalas dendam kerana kekalahan dalam pilihan raya umum boleh menakut-nakutkan pengundi.

Tegasnya, DAP tidak menutup pejabat atau pusat khidmatnya apabila kalah dalam setiap pilihan raya umum sejak 1966 sehingga 2008 tetapi terus berjuang untuk rakyat.

Semua ini, jelasnya dilakukan apabila Umno menjadikan kedua-dua DAP dan masyarakat Cina sebagai penjahat kerana berani melawan dan mengundi menentang BN.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan, rakyat Malaysia tidak lagi bodoh dan tidak akan membenarkan BN memainkan isu-isu nasional dengan sentimen perkauman.

Sebaliknya, tambah beliau setiap perkara perlu dibincangkan dan diputuskan berdasarkan merit tanpa berasaskan sentimen kaum tetapi berasaskan keperluan.

Ini, ujarnya adalah anjakan paradigma baru pilihan raya umum kali ini bahawa rakyat telah muak dan bosan dengan politik berasaskan kaum dan pelampau serta memilih dengan jelas untuk dasar-dasar mesra rakyat yang memberi perubahan kepada kehidupan rakyat biasa.

“Marilah kita membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah lebih kuat daripada orang-orang yang berkuasa,” katanya lagi.

Jom Doakan Ustaz Azizan Cepat Sembuh


Doa seluruh NGO Islam untuk Ustaz Azizan

Harakahdaily,11 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malayasia (Mapim) mewakli semua NGO Islam yang bergabung di bawahnya mendoakan agar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) sembuh dari pembedahan yang telah dilaluinya kelmarin.
“Kami merakamkan doa untuk beliau dan keluarga beliau agar tabah melalui ujian ini.

“Kami juga turut merasa simpati di atas ujian yang berat ini setelah beliau telah berjaya memimpin Kedah selama 5 tahun sebagai Menteri Besar dengan cemerlang,” ujar Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Katanya, sumbangan Ustaz Azizan ketika menerajui negeri Kedah tidak akan dapat dilupakan terutama dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri itu.

“Beliau telah berkorban sebagai pemimpin negeri yang boleh dicontohi kerana gaya hidupnya yang sederhana, tidak mementingkan diri dan sentiasa memastikan rakyat terbanyak merasai nikmat dari pemerintahan yang diterajuinya.

“Dalam keadaan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan beliau sering mengutamakan tanggungjawabnya untuk memastikan kerajaan negeri berfungsi dengan licin.


“Kami bersama seluruh rakyat Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya mendoakan agar Allah SWT menyembuhkan penyakitnya dan memberi kekuatan kepada beliau dan keluarganya bersama rakyat melihat Islam berdaulat seperti yang diperjuangkan oleh beliau selama ini,” ujar Mohd Azmi lagi.

Friday, 10 May 2013

Masa Untuk Bekerja, Tahniah PR Selangor!



PAKATAN RAKYAT SAHKAN TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM SEBAGAI MB SELANGOR BAGI PENGGAL KEDUA

Berikut Adalah Kenyataan Penuh Datuk Saifudin Nasution (Setiausaha Agong PKR)...


Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua. 

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu’ dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sekian, terima kasih.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGUNG

PARTI KEADILAN RAKYAT

Mustapa peroleh injunksi sementara halang Husam keluar kenyataan fitnah

KUALA LUMPUR 10 Mei - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini memperoleh perintah injunksi sementara menghalang Datuk Husam Musa dan empat lagi daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin membuat perintah itu di dalam kamarnya selepas berjumpa peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mustapa dan Azhana Mohd. Khairuddin mewakili kelima-lima defendan.

Muhammad Shafee memberitahu media, mahkamah membenarkan permohonan perintah injunksi sementara itu kepada anak guamnya sehingga inter-parte injunksi didengar pada 17 Julai ini.

Azhana pula berkata, anak guamnya akan menfailkan afidavit berhubung permohonan injunksi itu.
Pada 22 April lepas, Mustapa memfailkan saman fitnah terhadap Husam yang ketika itu Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, parti Pas, Setiausaha Agung Pas yang juga pemegang permit akhbar Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua pengarang dan pengarang http:/harakahdaily.net. Zulkifli Sulong dan Azmi Yusof sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mustapa mendakwa Husam pada 23 Mac lepas dalam ceramah politiknya di Tapak Expo Machang, Kelantan telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung saham FGVH.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mendakwa, sehari selepas itu defendan kedua (Pas) bersama defendan lain telah menerbitkan perkataan fitnah itu dalam laman sesawang harakahdaily.net. yang boleh diakses berjuta-juta pengguna laman itu.

Mustapa, 63, berkatam kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau adalah seorang pemimpin dan ahli politik yang korup dan tidak berkredibiliti dan ahli politik yang menyalahgunakan kuasanya bagi kepentingan peribadi dan pemimpin UMNO.

Akibat kenyataan fitnah itu, beliau mendakwa, reputasinya secara peribadi dan profesional telah terjejas teruk dan dimalukan.

Beliau memohon ganti rugi untuk libel, tambahan dan teladan dan juga perintah injunksi menghalang defendan daripada mengulangi kenyataan fitnah itu. - BERNAMA.

Thursday, 9 May 2013

Tsunami Cina: Ada Juga Pemimpin Umno Sanggah Kenyataaan Najib


Tun Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah tidak wajar
 untuk mengaitkan keputusan PRU13 lalu sebagai isu perkauman.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) sebagai akibat dari berlakunya ‘tsunami Cina’ disanggah oleh para pemimpin Umno sendiri.
Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berpendapat adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan PRU13 lalu sebagai isu perkauman.
Katanya, adalah tidak adil untuk menuduh dan menyalahkan kaum tertentu terhadap keputusan PRU13 lalu dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku.
“Kita tidak boleh membiarkan sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkauman. Tindakan tuduh-menuduh dan menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi manfaat,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa semua pihak berhenti dari menuding jari dan memainkan isu perkauman selepas PRU13, yang jelas merujuk kepada kenyataan Najib itu.
Khairy meminta semua pihak bertenang dan sesiapa pun tidak harus lekas membuat kesimpulan dan menyalahkan sesuatu kaum.
Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan bahawa bukan bangsa Cina sahaja yang memihak kepada pembangkang, perubahan juga berlaku di kawasan-kawasan bandar.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas di Parlimen Temerloh menggesa rakyat supaya menjauhi dari bersikap rasis berhubung keputusan PRU13 dan beliau yakin rakyat tidak mengundi berdasarkan sentimen perkauman.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, rakyat sebaliknya mengundi berdasarkan prospek pembangunan seperti isu-isu utama seperti insfrastruktur dan kebajikan.
Saifuddin berkata, walaupun beliau tewas di kawasan majoriti Cina tetapi para pengundi bukannya anti Melayu dan sama ada mereka mengundinya (Saifuddin) atau tidak, rakyat telah membuat pilihan yang bijak.
Apa lagi Cina mahu?
Ketika diasak oleh para wartawan mengenai apa komen beliau tentang tajuk muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Apa lagi Cina mahu” Selasa lalu, Najib cuba mengelak dan menyatakan anda patut lihat apa kata akhbar-akhbar Cina pula, apa yang dilaporkan bukannya semua betul.
Kenyataan Najib yang berbaur perkauman ini adalah satu percubaan untuk menyalahkan orang-orang Cina yang ramai sudah beralih dan menyokong Pakatan Rakyat pada PRU13 dan beliau enggan menyalahkan diri sendiri maupun partinya, Umno-BN.
Mungkin kerana sudah menyedari akan kesilapannya, semalam Najib melalui Twitternya berkata, tugas beliau seterusnya adalah untuk mengharmonikan isu perkauman.
“Tugas saya seterusnya ialah mengharmonikan isu-isu perkauman. Kami perlu mendekati lain-lainnya dalam penyatuan nasional dan kesederhanaan,” katanya.
Tetapi beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa bukan sahaja masyarakat Cina menolak kepimpinannya tetapi orang-orang Melayu dan masyarakat India terutama di bandar secara keseluruhan sudah menolak Umno-BN.
Jika diambil kira jumlah undi untuk Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ternyata BN telah tewas dalam PRU13. Untuk 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat memperolehi 5,623,984 undi manakala BN memperoleh 5,237,699 undi.
Untuk 505 kerusi DUN pula, Pakatan Rakyat memperoleh 4,879,699 undi manakala BN memperoleh 4,513,997 undi.
Prestasi BN di bawah Najib juga merudum teruk berbanding prestasi BN pada PRU12 di bawah Abdullah Badawi. Semasa Pak Lah BN memenangi 140 kerusi parlimen dan semasa Najib BN mendapat 133 kerusi iaitu kehilangan sebanyak tujuh kerusi Parlimen.
Ini berbanding dengan Pakatan Rakyat yang mendapat 82 kerusi Parlimen pada 2008, telah meningkat kepada 89 kerusi pada 2013; penambahan sebanyak tujuh kerusi.
Untuk kerusi DUN pula, semasa Pak Lah, BN memenangi 344 kerusi DUN tetapi semasa Najib, jumlah kerusi DUN yang dimenangi BN merosot teruk; tinggal hanya 275 kerusi.
Berbanding dengan prestasi Pakatan Rakyat, kerusi DUN yang dimenangi pada tahun 2008 ialah sebanyak 161 kerusi dan meningkat kepada 230 kerusi pada PRU13, pertambahan sebanyak 71 kerusi.

Wednesday, 8 May 2013

Kemenangan DAP Tidak Sah?


ZABRY MOHAMAD
PERMATANG PAUH 9 Mei - Kemenangan calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dipertikaikan berikutan surat pelantikan watikah daripada parti itu mungkin tidak sah.

Ketua Cawangan DAP Bagan Luar, G. Asoghan berkata, beliau mempersoalkan perkara itu kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mengiktiraf pemegang-pemegang jawatan dalam parti berkenaan.

"Ini berikutan pengumuman ROS beberapa hari sebelum hari pencalonan bahawa pemilihan DAP pada 15 Disember lalu bagi membentuk Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) tidak sah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Siaran langsung perhimpunan Tolak Penipuan PRU 13 di Kelana Jaya

KUALA LUMPUR 8 MEI: Program Suara Rakyat Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13 yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya malam ini boleh diikuti secara langsung.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berucap pada program yang diatur berikutan pelbagai bentuk penipuan regim Umno BN hingga menafikan keputusan rakyat.
Program dijadual bermula jam 8.30 malam tetapi ramai penyokong Pakatan Rakyat sudah tiba di lokasi berkenaan.
Untuk tonton, KLIK INI.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

Tuesday, 7 May 2013

Ustaz Azizan Tenat

ALOR SETAR 8 Mei - Setiausaha Akhbar bekas Menteri Besar Kedah, Mohd. Helmi Khalid menafikan khabar angin mengatakan bekas menteri besar itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pagi ini.

Helmi berkata, Azizan masih menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital tersebut semalam.

"Sekitar pukul 5.30 pagi tadi, keadaan ustaz Azizan agak tenat, sehingga sekarang ustaz sedang menerima rawatan di wad CCU (Unit Rawatan Jantung) hospital," katanya kepada Utusan Online melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini pagi ini.

Khabar angin bertiup kenyang di negeri ini mengatakan Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau meninggal dunia di hospital itu - Utusan.

Berita Yang Orang UMNO dan Akhbar Milik Kerajaan Suka

Penyokong Husam adakan demonstrasi di hadapan Kota Darulnaim

PENYOKONG Husam Musa mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran Kota Darulnaim Kota Bahru pagi ini. - UTUSAN/AZRAN FITRI RAHIM
 
KOTA BHARU 8 Mei - Para penyokong Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan, Kota Darulnaim pada pukul 10.30 pagi ini.

Demonstrasi itu diadakan bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka kerana Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan tidak dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri.

Kumpulan itu turut membantah perlantikan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar. - UTUSAN ONLINE.

Idris Haron Ketua Menteri Melaka,Azlan Man Menteri Besar Perlis Yang Baharu

Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Udang, Datuk Ir Idris Haron hari ini dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-10 di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob di pejabat Yang Dipertua Negeri di Ayer Keroh.

Idris, 47, menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyandang jawatan itu selama 13 tahun sejak Disember 1999.

Beliau diiringi isteri Datin Fadilah Abdullah pada istiadat yang diadakan pukul 10.20 pagi.

Turut hadir ialah dua bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Mohd Ali dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik serta para pemimpin parti komponen BN.

Idris yang memiliki kelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik University of Texas, Amerika Syarikat pada 1989 memulakan karier politiknya apabila menyertai Umno pada tahun 1993 di cawangan Klebang Kecil.

Anak ketiga daripada empat beradik itu pernah menjadi Ketua Pemuda Umno bahagian Tangga Batu, Ketua Penerangan Umno Melaka dan kemudian dipilih sebagai anggota Exco Pemuda Umno pada 2004-2007.
Idris juga pernah memegang jawatan sebagai timbalan menteri Pengajian Tinggi dari 2008 hingga 2009 sebelum dilantik pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak 1 April 2010.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad, Idris menang dengan majority undi 9,136 apabila mendapat 12,145 undi menewaskan calon PKR Asri Buang yang memperoleh 3,009 undi.

Barisan Nasional (BN) Melaka berjaya mempertahan kemenangan di Melaka dengan majoriti dua pertiga setelah memperoleh 21 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi DUN. — Bernama
  
Azlan Man angkat sumpah Menteri Besar Perlis
KANGAR, 7 Mei — Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pauh Azlan Man hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau di sini.

Azlan, 55, yang merupakan menteri besar Perlis ketujuh selepas merdeka, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.

Azlan yang merupakan bekas timbalan ketua pengarah Biro Pengaduan Awam memenangi kerusi dewan undangan negeri Pauh pada pilihan raya umum ke-13 selepas menewaskan Ketua Dewan Ulama PAS Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.

Berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah BPA sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13. — Bernama